FOTO Arkib
FOTO Arkib
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan pendaftaran masuk penuntut baharu dan lama secara fizikal berikutan peningkatan kes penularan Covid-19 di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, pendaftaran hanya hanya dilaksana secara dalam talian Oktober ini.

"Berikutan perkembangan semasa Covid-19 di negara ini, UUM bersetuju menangguhkan pendaftaran kemasukan penuntut sehingga ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Namun pendaftaran tetap dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran dibuat secara dalam talian sehingga pengumuman baharu dibuat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya kelmarin, mengumumkan penangguhan pendaftaran pelajar secara fizikal di semua institusi pengajian tinggi bulan ini.

Hendrik berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar terjamin.

"Bagi pelajar yang berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh terus kekal berada di kampus dan pihak universiti akan membantu segala keperluan diperlukan.

"Minggu Suai Kenal (MSK) pelajar baharu pada 7 dan 8 Oktober diteruskan seperti yang dijadualkan secara dalam talian, manakala Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) juga akan berjalan mengikut jadual secara dalam talian mulai 11 Oktober," katanya.

Beliau turut memberi jaminan pihak universiti akan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPT bagi mencegah penularan wabak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:46 PM