GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia yang terkesan dengan kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tujuan itu, RM50 juta disediakan kerana kerajaan sedar sektor pelancongan membabitkan syarikat penerbangan antara paling terkesan berikutan penularan wabak itu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' di Parlimen hari ini, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai juru pandu pelancong di semua taman negara.

Beliau berkata bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong, sebanyak RM50 juta disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

"Sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

"Selain itu, sebanyak RM10 juta pula diperuntukkan bagi memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara menjadi ikon pelancongan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut menyediakan RM35 juta kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan negara.

Tegasnya, kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga 2020.

Beliau berkata, kekurangan kehadiran pelancong dapat dirasai peniaga dan penjaja termasuk di Sabah, dan lantaran itu, Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 diberikan kepada mereka, selain pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas, pengecualian levi tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan diberikan selama enam bulan berkuatkuasa 1 Januari 2021 meliputi sektor pelancongan dan syarikat terjejas dengan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:28 PM