Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Ayah tunggu juga kenapalah seorang pun tak ucap hari jadi, ayah sampai dah nak nangis," itu kata-kata Mat Isa, 56, di dalam rakaman video hari jadinya yang tular baru-baru ini sehingga meruntun jiwa warganet yang menontonnya.

Video sambutan hari jadi bapa kepada lima anak itu dikongsikan anaknya, Amir Isa, 27, di akaun Twitter miliknya.

Menerusi perkongsian itu, terlihat Mat Isa sebak kerana dia beranggapan semua anaknya melupakan tarikh kelahirannya sehingga menyebabkannya mengalirkan air mata.

Walaupun begitu, menerusi rakaman itu terlihat Mat Isa gembira dengan kejutan pemberian kek dan hadiah daripada anak-anaknya itu.

Berkongsi kisah sebenar, Amir berkata, video kejutan hari jadi untuk bapanya itu sebenarnya diambil pada 20 April tahun lalu di kampung halamannya di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

"Kebiasaannya, tepat 12 malam pasti salah seorang daripada kami akan mengucapkan selamat hari jadi kepada ahli keluarga pada tarikh kelahiran masing-masing menerusi kumpulan WhatsApp.

"Namun, pada tahun lalu, kami membuat sedikit kelainan dengan merancang 'prank' (gurauan) kepada ayah dengan cara pura-pura tidak mengingati tarikh kelahirannya supaya kejutan sambutan itu menjadi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia turut terkejut dan tidak menyangka bapanya yang dianggap selalu ceria dan tenang itu mengalirkan air mata ketika rakaman dibuat.

MAT Isa sebak terima kejutan. FOTO Amir Mat Isa.
MAT Isa sebak terima kejutan. FOTO Amir Mat Isa.

"Serba salah jadinya, apabila ayah menangis kerana 'prank' yang kami lima adik beradik rancang.

"Sebaik saja ayah menangis kami terus peluk dan menenangkannya serta menganggap sambutan hari jadi itu adalah memori bermakna buat kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya yang bekerja di Cheras, sambutan kelahiran ayahnya itu turut dihadiri semua adik beradik, abang ipar dan anak buahnya.

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, dia memuat naik video yang dirakam tahun lalu itu bagi mengimbau kenangan bersama keluarganya.

"Sudah lebih dua bulan saya tidak pulang ke kampung disebabkan mematuhi sekatan pergerakan dan mahu sama-sama memerangi penularan Covid-19.

"Saya lihat ramai di media sosial memuat naik memberikan hadiah serta kejutan kepada ibu bapa mereka dan kerana itu saya membuat perkongsian majlis hari jadi ayah itu di Twitter," katanya.

Video sambutan hari jadi dimuat naik Amir di Twitter miliknya mendapat perhatian warganet sehingga diulang ciap lebih 27,000 dan ditonton lebih 570,000 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 8:04 PM