MARZUKI dan Halimaton gembira menerima kejutan Perodua Kancil yang dihadiahkan enam anak mereka. FOTO Ihsan Muhammad Khairul Marzuki
MARZUKI dan Halimaton gembira menerima kejutan Perodua Kancil yang dihadiahkan enam anak mereka. FOTO Ihsan Muhammad Khairul Marzuki
Noor Hidayah Tanzizi


Jitra: "Kami enam beradik sangat gembira serta bersyukur dapat menghadiahkan Perodua Kancil kepada mak dan abah biarpun bukan kereta baharu 'koyak plastik' namun ia ikhlas dari hati kami untuk insan tersayang," kata Muhammad Khairul Marzuki.

Muhammad Khairul, 25, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video kejutan pemberian kereta berkenaan sebagai hadiah untuk ibu bapa, Marzuki Ibrahim, 65, dan Halimaton Said, 63, pada Isnin lalu.

Enam beradik itu bukan saja menghadiahkan kereta, malah mereka turut menghadiahkan sebuah motosikal Modenas Kriss terpakai buat ibu bagi memudahkan urusan hariannya.

Berkongsi cerita, Muhammad Khairul berkata, dia dan lima lagi adik-beradiknya membuat kejutan bermakna itu sebagai penghargaan untuk insan tersayang yang banyak berkorban membesarkan mereka sejak kecil.

Menurutnya, kereta itu dibeli untuk menggantikan kereta lama bapa mereka yang sering mengalami kerosakan selain saiznya lebih kecil memudahkan pemanduan bapa yang kurang daya berjalan kerana angin ahmar minor di sebelah kiri badan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

"Abah melakukan rawatan fisioterapi dan dia ketika ini boleh memandu kereta sebab itu kami pilih Kancil kerana ia lebih kecil dan auto jadi lebih mudah untuk abah menggunakannya.

"Kereta itu dibeli tunai berharga RM6,500 hasil simpanan yang dikumpul kami enam beradik. Apabila wang sudah cukup abang kedua saya mencari kereta yang sesuai dan pastikan kenderaan itu dalam keadaan baik sebelum dibeli," katanya.

MUHAMMAD Khairul (dua kiri) bersama lima adik-beradiknya. FOTO Muhammad Khairul Marzuki
MUHAMMAD Khairul (dua kiri) bersama lima adik-beradiknya. FOTO Muhammad Khairul Marzuki

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sibu, Sarawak itu berkata, sebagai anak mereka juga mengimpikan untuk membeli kereta baharu namun mereka mengikut kemampuan dan menganggap hadiah itu adalah rezeki mereka ketika ini.

"Pendapatan kami sederhana dan kami ikut kemampuan beli kereta ini supaya tidak bebankan (mereka dan ibu bapa). Biarpun cuma kereta terpakai tetapi mak dan abah sangat terharu serta gembira apabila menerima kejutan itu.

"Mereka juga tidak sangka akan dapat kereta dan motosikal. Saya yang berada di Sarawak sebak melihat abah menangis dalam video yang dirakam kakak. Semua ini untuk mak abah yang tak pernah penat membesarkan kami," katanya.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, perkongsian video di TikToknya mendapat perhatian ramai termasuk ada netizen mempersoalkan mengapa mereka menghadiahkan Perodua Kancil dan bukan kereta baharu lain.

Bagaimanapun katanya, dia tidak berkecil hati dan mengakui ia pandangan orang yang menyifatkan kenderaan itu hanya kereta terpakai dan lama namun bagi mereka ia adalah rezeki tidak ternilai yang disyukuri.

Terdahulu, Khairul berkongsi video memaparkan kegembiraan ibu bapa tersayang menerima kejutan dihadiahkan Perodua Kancil yang menerima pelbagai reaksi terutama komen positif netizen yang memuji usaha dia bersama lima adik-beradiknya membahagiakan insan tersayang mengikut kemampuan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:04 PM