Zazali (duduk, kiri) dan Elmi Fairul (duduk, kanan) menandatangani SARE untuk pemasangan panel solar di bumbung pejabat MBS. FOTO Ihsan TNB
Zazali (duduk, kiri) dan Elmi Fairul (duduk, kanan) menandatangani SARE untuk pemasangan panel solar di bumbung pejabat MBS. FOTO Ihsan TNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk pemasangan panel solar di bumbung pejabat MBS yang dijangka dapat menjimatkan RM3.2 juta bil elektrik sepanjang kontrak 21 tahun.

Perjanjian itu ditandatangani Datuk Bandar Seremban Datuk Zazali Salehudin bersama Pengarah Urusan GSPARX Elmi Fairul Mashuri dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.

Majlis tandatangan pemeteraian perjanjian itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr Razali Ab Malik dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Negeri Sembilan Mahamad Farizan Mahamad.

Projek pemasangan dengan kapasiti 720 kilowatt peak (kWp) itu dijangka siap April 2021.

Menerusi projek itu, sejumlah 919,800 kWh tenaga hijau yang dijangka dijana pada tahun pertama mampu mengimbangi pelepasan karbon hasil pembakaran 385 tan metrik arang batu setahun yang bersamaan penyerapan karbon dioksida oleh hutan seluas 343.6 hektar setahun.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, melalui perjanjian itu, MBS menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketiga selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang menggunakan kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

"Melalui GSPARX, TNB sudah menjalin kerjasama dengan entiti seperti majlis bandar raya dan syarikat untuk membolehkan lebih ramai pengguna elektrik menjadi pengeluar swaguna (prosumer)," katanya.

Terbaharu, pada 24 September lalu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menandatangani perjanjian dengan GSPARX untuk pemasangan panel solar berkapasiti 2.210 MWp pada empat bangunannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, di bawah skim panel solar fotovoltaik (PV), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri yang dilaksanakan kerajaan, kira-kira 310 pelanggan memeterai perjanjian dengan GSPARX menerusi SARE dan pembelian terus untuk menjana kira-kira 54 MWp tenaga hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:52 PM