Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsugutoshi Seko (tiga kiri) menunjukkan dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Peruncitan Tenaga Nasional Berhad, Kamal Arifin A Rahman (tiga kanan) . - FOTO Aswadi Alias
Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsugutoshi Seko (tiga kiri) menunjukkan dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Peruncitan Tenaga Nasional Berhad, Kamal Arifin A Rahman (tiga kanan) . - FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) terus menggiatkan peralihan tenaga dengan terkini bersama Aeon Co (M) Bhd (Aeon).

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (Sare), GSPARX akan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) di 40 premis membabitkan pusat beli-belah Aeon dan pasar raya Aeon BiG di seluruh negara dengan kapasiti berjumlah 99MWp dan saiz sistem kira-kira 77,000 kWp untuk tempoh 25 tahun.

Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A Rahman berkata, ia menjadikan projek solar terbesar dilaksanakan GSPARX dari segi kapasiti solar dan bilangan lokasi yang dipasang.

"Saya ingin meyakinkan Aeon bahawa kami komited untuk menyelesaikan pemasangan di semua 40 lokasi dalam dua fasa dengan yang pertama menjelang akhir 2023 dan yang kedua pada penghujung 2024.

"Selepas melengkapkan kesemua 40 lokasi, penyelesaian solar atas bumbung mampu menyampaikan 99 MWh tenaga suria setahun," katanya pada majlis menandatangani SARE itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsugutoshi Seko; Ketua Pegawai Strategi dan Venture TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.

Selain itu, Kamal Ariffin berkata Aeon juga sudah berjaya memperbaharui kontrak langganan Tarif Elektrik Hijau (GET) dengan kapasiti 36 GWj dalam menyokong komitmen Malaysia untuk menjadi negara sifar karbon menjelang 2050.

Sementara itu, Tsugutoshi Seko berkata, pemasangan pertama untuk projek ini siap pada Oktober 2022 menampilkan 1,513 kilowatt puncak (kWp) PV solar di atas bumbung dan tempat letak kereta terbuka.

"Kami bersyukur mempunyai GSPARX dan TNB sebagai rakan kongsi dalam usaha ini. Kami percaya ini adalah gabungan kepakaran yang sangat kukuh dalam tenaga boleh diperbaharui.

"Kami melihat ini sebagai peluang yang hebat untuk terus menggalakkan penjimatan tenaga sekali gus masa depan yang lebih hijau, mesra alam.

"Di Jepun, kami mempunyai pepatah 'mottainai' yang bermaksud jangan buang apa yang berharga. Perkongsian kepakaran dan sokongan oleh TNB serta GSPARX ini adalah bukti komitmen kami untuk memastikan bahawa tiada sisa atau sangat sedikit sisa yang dihasilkan oleh Aeon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:17 PM