FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat solusi tenaga hijaunya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bagi mengurangkan emisi karbon mereka menerusi pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Lada menyatakan hasrat berkenaan melalui penyerahan Surat Niat (Letter of Intent) dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung pada 17 Oktober 2021.

Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat Lada, adalah operator Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

Penyerahan surat dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Lada merangkap Pengerusi LPSB, Nasaruddin Abdul Muttalib kepada Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.

Majlis disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ketua Pegawai Retail TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu Lada mencapai objektif mereka bagi mengurangkan emisi karbon dan menjana tenaga hijau.

"Bagi mencapai aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, TNB telah dan akan terus membangunkan keupayaan yang terbukti dalam bidang panel solar fotovoltaik.

"Langkah Lada dan LPSB untuk menjana tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG), malah turut mampu menjimatkan bil elektrik mereka," katanya dalam kenyataan di sini.

Bergantung kepada perjanjian, potensi penjimatan bil elektrik LPSB selepas pemasangan adalah antara RM87,000 hingga RM244,000 bagi tahun pertama dan sehingga RM5 juta hingga RM7.4 juta bagi tempoh 25 tahun.

Megat berkata, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara turut menyokong usaha kerajaan itu dengan meletakkan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus, serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

"Hala tuju kelestarian TNB mendukung pelan Kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam gabungan kapasiti penjanaan negara ke arah mencapai sasaran kapasiti terpasang RE sebanyak 31 peratus pada 2025.

"Menerusi kerjasama strategik dengan KeTSA, TNB telah menyiapkan projek solar di dua lokasi manakala pemasangan di tujuh lagi lokasi membabitkan bangunan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sekolah sedang disiapkan menjadikan jumlah kapasiti penjanaan tenaga hijau hampir 2.2 MWp.

"Antara entiti yang telah dan bakal menjadi pengeluar swaguna (prosumer) menerusi kerjasama itu termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (100kWp) di Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Subang Jaya (100kWp), Selangor; Agensi Nuklear Malaysia (460kWp), Selangor, dan Kolej Tunku Kurshiah (314kWp), Negeri Sembilan," katanya.

Sehingga kini, di bawah skim panel solar PV, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (Selco) yang dilaksanakan kerajaan, GSPARX telah memeterai perjanjian menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dan pembelian terus dengan 840 pelanggan komersial dan domestik (kediaman) untuk menjana kira-kira 103 MWp kapasiti tenaga hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:17 PM