FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan Johor akan berbincang dengan pengurusan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, berhubung nasib 150 peniaga yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ia susulan laporan mendakwa peniaga di terminal itu bakal gulung tikar selepas tidak mampu membayar wang sewaan premis mereka berikutan kekurangan pelanggan sejak Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad berkata, perbincangan itu dijangka akan diadakan Isnin ini.

"Saya akan memanggil pengurusan terminal Larkin Sentral untuk membincangkan kaedah terbaik meringankan beban peniaga Isnin ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan di kawasan lot perniagaan di situ, mendapati suasana terminal berkenaan suram dan hambar, berikutan ketiadaan pengunjung berbanding sebelum ini yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura Mac lalu, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik dengan menaiki bas di terminal berkenaan.

Pengunjung Singapura juga datang berbelanja hampir setiap hari dan hujung minggu di situ.

Bagaimanapun, sejak Mac pendapatan peniaga merosot sehingga 90 peratus, malah selepas Lembah Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) sejak 14 Oktober lalu, keadaan makin kritikal bagi peniaga yang 90 peratus adalah Bumiputera.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 2:04 PM