Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Suasana di Terminal Pengangkutan Awam Darat Larkin Sentral di sini, hari ini menjadi riuh dan ceria apabila seorang isteri dan pengunjung lain menyanyikan lagu selamat hari jadi sebagai kejutan kepada suami wanita berkenaan yang baru tiba dari Singapura.

Suri rumah, Mushaibah Fauzi, 32, turut membawa belon berbentuk hati sebagai kejutan kepada suaminya, Muhammad Wafi Akashah, yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-32.

Sebaik sahaja melihat kelibat suaminya keluar dari pintu keluar laluan VTL Darat di terminal berkenaan, Mushaibah menyanyikan lagu selamat hari jadi, sebelum pengunjung lain turut menyanyikan lagu itu secara beramai-ramai.

MUSHAIBAHFauzi, 32, memeluk suaminya Muhammad Wafi Akashah, 32, yang  tiba dari Singapura setelah lebih 10 bulan tidak pulang di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUSHAIBAHFauzi, 32, memeluk suaminya Muhammad Wafi Akashah, 32, yang tiba dari Singapura setelah lebih 10 bulan tidak pulang di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mushaibah berkata, dia dan tiga anak terlalu rindukan suaminya yang sudah hampir setahun terperangkap di Singapura.

"Saya dan keluarga sudah lama menanti, akhirnya dapat bertemu semula selepas hampir setahun tidak dapat bertemu akibat sempadan ditutup.

"Saya rasa sangat bersyukur apabila suami memberitahu akan pulang ke Johor Bahru. Sebaik pengumuman VTL-Darat, dia terus memohon cuti dan membeli tiket pulang ke sini.

"Bagi meraikan kepulangan dan hari lahir suami, saya sudah menyediakan makanan kegemarannya iaitu laksam. Dia sudah lama teringin menikmati menu hasil air tangan saya.

"Kepulangan suami juga tidak diketahui oleh tiga anak kami. Suami merancang untuk membuat kejutan buat anak apabila pulang ke rumah di Nong Chik, namun saya mengejutkannya dahulu dengan nyanyian hari jadi," katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar dan Jitra, Kedah itu, bercadang untuk bercuti bersama tiga anaknya berusia lima hingga tujuh tahun di kawasan pelancongan Desaru dalam masa terdekat.

Katanya, ia sebagai hadiah percutian buat tiga anak mereka selepas suaminya terlepas untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga serta tidak berkesempatan meraikan ulang tahun kelahiran anak-anak.

"Memandangkan suami yang bertugas sebagai jurutera di Singapura hanya bercuti dua minggu sahaja, kami merancang untuk pergi bercuti memanfaatkan masa berkualiti dengan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:21 PM