PENGGUNA yang menaiki bas bagi merentas negeri selepas mendapat kebenaran menerusi Aplikasi Gerak Malaysia di Terminal Larkin Sentral. FOTO Omar Ahmad
PENGGUNA yang menaiki bas bagi merentas negeri selepas mendapat kebenaran menerusi Aplikasi Gerak Malaysia di Terminal Larkin Sentral. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

DIANGGARKAN 600 individu dari negeri ini yang menggunakan pengangkutan awam melalui Terminal Larkin Sentral melakukan pergerakan rentas negeri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pergerakan rentas negeri dibenarkan selepas mendapat kelulusan daripada polis atau melalui aplikasi Gerak Malaysia.

"Hari ini dianggarkan 40 bas berlepas dari Terminal Larkin Sentral bergerak ke destinasi yang ditetapkan seawal jam 7 pagi.

"Kita menugaskan 14 pegawai untuk memastikan kelancaran pergerakan rentas negeri ini ke Perak dan Kelantan," katanya ketika ditemui di Terminal Larkin Sentral, hari ini.

Pada 26 April lalu, kerajaan mengumumkan orang ramai yang mempunyai urusan penting serta yang terkandas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mahu kembali ke kediaman masing-masing supaya memuat turun aplikasi Gerak Malaysia.

Ia bertujuan memudahkan urusan permohonan bagi mendapatkan permit pergerakan rentas negeri yang dibuat secara dalam talian.

Melalui aplikasi ini, kod QR unik akan diimbas dan diperiksa oleh anggota petugas di mana-mana sekatan jalan raya (SJR).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 4:34 PM