PELAJAR SMK Pantai ketika menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO BERNAMA
PELAJAR SMK Pantai ketika menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai diarah menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Membedai di sini, hari ini, selepas seorang lagi pelajar Tingkatan Lima di sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, pelajar yang disahkan positif Covid-19 itu adalah kontak rapat kepada pelajar pertama dijangkiti wabak itu minggu lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 17 Oktober lalu.

"Kes pertama membabitkan pelajar yang positif (Covid-19) pada 14 Oktober yang membawa kepada penutupan sekolah itu," katanya kepada Bernama selepas pertemuan dengan lapan pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Kelantan yang didatangkan untuk membantu menangani pandemik Covid-19 di pulau itu, hari ini.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Pantai Norazita Md Noor@Shamsuri meminta ibu bapa supaya membawa anak mereka yang belajar dalam kelas di tingkat sama dengan pelajar disahkan positif Covid-19 itu untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

Sebelum penularan kes Covid-19 dikesan di sekolah itu, pada 8 Oktober lalu SMK Mutiara diarah tutup selepas dua pelajarnya disahkan positif wabak itu diikuti dengan jangkitan terhadap seorang murid di Sekolah Kebangsaan Kerupang di pulau itu.

Sejak seminggu lalu, Labuan merekodkan peningkatan mendadak penularan Covid-19 dengan mencatatkan 154 kes keseluruhan, setakat semalam. Labuan diletakkan dalam arahan PKPB bermula 17 hingga 30 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:06 PM