ANTARA barangan curi dirampas daripada tiga suspek. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan curi dirampas daripada tiga suspek. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua kumpulan penjenayah membabitkan tiga lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia ditahan di tiga lokasi berbeza pada Jumaat dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, tiga lelaki berusia antara 32 hingga 42 tahun itu daripada dua kumpulan penjenayah aktif melakukan kes curi dan memecahkan cermin kereta sekitar Johor Bahru Selatan.

Beliau berkata, suspek warga tempatan ditahan di Taman Maju Jaya dan Taman Pelangi manakala suspek warga asing ditahan di Taman Mount Austin sekitar 6 hingga 11.30 pagi.

"Hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah kereta di daerah ini dan merampas pelbagai barang curi.

"Semakan mendapati dua suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek warga Indonesia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, suspek warga asing direman 14 hari manakala suspek tempatan direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri.
Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 1:40 PM