PERALATAN canggih yang digunakan sindiket curi kereta mewah Geng Aseng. FOTO IHSAN PDRM
PERALATAN canggih yang digunakan sindiket curi kereta mewah Geng Aseng. FOTO IHSAN PDRM
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Aseng yang bergiat aktif mencuri kenderaan mewah tumpas dalam empat serbuan berasingan di Taman Austin dan Taman Permasjaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan yang dibuat semalam dan kelmarin oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bersama Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan dibantu anggota Balai Polis Permasjaya dan Setia Indah berjaya menahan empat ahli geng terbabit yang juga lelaki tempatan.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 31 hingga 55 tahun dan polis berjaya merampas empat kenderaan yang dilaporkan hilang.

"Polis juga berjaya merampas peralatan mencuri kenderaan, beberapa nombor pendaftaran palsu dan peralatan mencetak cukai jalan palsu.

"Modus operandi sindiket ini menggunakan peralatan canggih yang berkeupayaan mencuri kenderaan dalam tempoh 40 saat.

"Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan susulan laporan dibuat oleh lelaki berusia 30 tahun berkaitan kehilangan kenderaan jenis Toyota Alphard di hadapan sebuah hotel di Taman Desa Tebrau, dekat sini, Khamis lalu.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama empat hari hingga 24 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:52 PM