GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Kumpulan penjenayah, Geng Almeera yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini tumpas dalam tiga serbuan semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dalam serbuan jam 1.30 tengah hari hingga 10 malam itu, polis menahan dua lelaki berumur 44 dan 48 tahun.

Katanya, dua suspek itu memiliki rekod jenayah berkaitan samun, curi kenderaan, pecah rumah, dadah dan seorang daripadanya dikehendaki polis.

"Polis berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan iaitu tiga kereta, peralatan pecah rumah, dan pelbagai mata wang berjumlah RM1,343.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dengan 11 kes pecah rumah di Johor Bahru Selatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Padzli berkata, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

"Kedua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 30 Julai," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 10:21 PM