Geng Mat Top yang giat menjalankan kegiatan mencuri kenderaan terpakai sekitar Johor Bahru tumpas dalam empat serbuan. FOTO IHSAN POLIS
Geng Mat Top yang giat menjalankan kegiatan mencuri kenderaan terpakai sekitar Johor Bahru tumpas dalam empat serbuan. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Selepas bermaharajalela sejak enam bulan lalu, Geng Mat Top yang aktif mencuri kereta di sekitar daerah ini kecundang selepas lima ahlinya ditahan polis.

Semua suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan dua hari lalu dan semalam dalam empat serbuan berasingan di Ulu Tiram di sini dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, semua lelaki warga tempatan itu ditahan antara jam 11.30 malam pada 21 November dan 2 petang, semalam.

Katanya, kumpulan berkenaan dipercayai aktif mencuri motosikal dan kereta di perkarangan rumah mangsa.

"Susulan tangkapan itu, polis merampas dua Proton Wira dan satu trak pikap Mitsubishi Storm dianggarkan bernilai lebih RM30,000 serta sebuah kereta Toyota Vios milik salah seorang suspek.

"Siasatan mendapati kumpulan berkenaan mencuri kenderaan dengan masuk ke dalam rumah yang berpenghuni.

"Kenderaan itu kemudiannya dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Menurut Mohd Padzli, semua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:44 PM