MOHD Fared. FOTO NSTP.
MOHD Fared. FOTO NSTP.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sudah melengkapkan kertas siasatan kes kasut tumit tinggi yang didakwa mempunyai logo mirip kalimah Allah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini saya tidak dimaklumkan sama ada terdapat siasatan lanjutan berhubung kes atau sebaliknya, tetapi saya yakin penguat kuasa agama negeri ini dan juga polis telah jalankan tugas sebaiknya.

"Selebihnya kita serah budi bicara peguam negara untuk buat tindakan susulan termasuk sama ada perlu mendakwa mereka yang terlibat," katanya yang ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Pada 7 April lalu, sejumlah kasut yang menggunakan logo menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita dirampas dalam serbuan bersepadu di beberapa pusat beli-belah di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared memaklumkan seramai 3,500 rakyat negeri ini akan melakukan ibadah haji pada tahun ini.

"Jumlah itu adalah kuota yang diberikan kepada negeri tahun ini. Daripada jumlah itu, seramai 500 jemaah pula berada di bawah pengurusan dan program kerajaan negeri.

"Tarikh pelepasan paling awal adalah pada 18 Mei dan saya juga difahamkan semua bakal jemaah berada dalam keadaan sihat dan baik," katanya.


Isu logo didakwa mirip kalimah Allah di tapak kasut: tindakan tegas jika disengajakan - JakimIsu logo didakwa mirip kalimah Allah di tapak kasut: tindakan tegas jika disengajakan - Jakim

'Saya belajar dari kesalahan ini supaya lebih sensitif' - Ah Foo, pengasas kasut Vern's

Logo pada tapak kasut tidak menyamai kalimah Allah dalam aspek seni khat - Pakar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 2:12 PM