FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Lapan individu ditahan termasuk lima wanita warga Vietnam berusia 18 hingga 40 tahun dalam Operasi Noda-Persundalan di sebuah hotel di Taman Century, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan pada jam 7.50 malam itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Katanya, polis turut menahan tiga lelaki tempatan dalam serbuan itu.

"Semakan rekod jenayah lampau terhadap lapan suspek mendapati tiada rekod jenayah. Polis sedang menyiasat peranan tiga lelaki terbabit dalam aktiviti ini.

"Dalam operasi ini, polis merampas barang kes yang digunakan untuk aktiviti pelacuran iaitu satu unit perakam kamera litar tertutup, dua router, satu moderm, tiga telefon bimbit pelbagai jenama dan dua keping kondom.

"Turut dirampas dua helai tuala mandi, dua gulung tisu, satu paket tisu basah, dua kunci bilik, dua anak kunci kereta Perodua Viva dan Honda Civic serta wang tunai berjumlah RM1,070," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Padzli berkata, suspek warga Vietnam itu ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan termasuk sama ada memasuki Malaysia dengan mengikuti prosedur yang sah manakala tiga suspek lelaki tempatan ditahan reman selama sehari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 373 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:27 PM