SUMBANGAN yang diterbangkan dari Kuala Lumpur. FOTO ihsan MRA
SUMBANGAN yang diterbangkan dari Kuala Lumpur. FOTO ihsan MRA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah antara badan bukan kerajaan pertama menghulurkan bantuan sokongan sukarelawan babgi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membuat saringan di beberapa lokasi sekitar Tawau berikutan kawasan berkenaan dalam risiko tinggi jangkitan Covid-19.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan itu dilakukan sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan sekitar pantai timur Sabah pada awal Oktober lalu.

"Sehingga hari ini, sukarelawan kami masih komited bersama KKM membantu melaksanakan saringan dengan menggandakan bilangan operasi dan sukarelawan terbabit.

"Dalam masa sama MRA Sabah juga melaksanakan beberapa program bukan perubatan membabitkan bantuan kepada mereka terjejas dengan situasi PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang dilaksanakan di seluruh negeri bermula 13 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, MRA Sabah menerima sumbangan daripada beberapa agensi antaranya 2,000 pek makanan asas bernilai RM120,000 dan wang tunai berjumlah RM15,000.

"Selain itu, kita menerima sumbangan 9,000 pakaian perlindungan diri (PPE) dan 20,000 pelitup muka berjumlah lebih RM 500,000 untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Penjara Sabah.

"Bantuan ini diterbangkan daripada Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Pos Malaysia Logistik dengan kerjasama Match Health Cluster," katanya.

Menurutnya, bantuan MRA mula diagihkan sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, Sipitang, Tawau, Semporna, Sandakan dan akan dikembangkan lagi di beberapa kawasan lain bergantung kepada dana dan sumbangan diterima.

"Setakat ini MRA berjaya mengumpul sumbangan RM60,000 daripada syarikat korporat dan derma orang ramai serta mensasarkan pengumpulan dana kewangan sebanyak RM 200,0000termasuk alatan perubatan dan makanan menjelang akhir Oktober ini.

"MRA cawangan Sabah melancarkan Tabung OPS Covid-19 2.0 bagi membantu mereka yang terjejas dengan pandemik ini," katanya.

Katanya, MRA Sabah membuka tiga pusat operasi Covid-19 di Tawau, Beaufort dan Kota Kinabalu untuk penghantaran bantuan dan sebarang pertanyaan dan sumbangan boleh berhubung talian 013-337 3316.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 1:36 PM