Dr Liew Houng Bang (dua dari kiri) mewakili Hospital Queen Elizabeth 2 menerima sumbangan peralatan perubatan sumbangan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) yang diterbangkan POS Malaysia. FOTO Ihsan MRA Sabah
Dr Liew Houng Bang (dua dari kiri) mewakili Hospital Queen Elizabeth 2 menerima sumbangan peralatan perubatan sumbangan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) yang diterbangkan POS Malaysia. FOTO Ihsan MRA Sabah
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah menghulurkan bantuan sokongan sukarelawan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan di zon merah di pantai timur negeri berkenaan.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, pihaknya turut mengedarkan 3,000 pek makanan asas di seluruh Sabah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada awal Oktober lalu.

"MRA Sabah juga menerima sumbangan pek makanan asas daripada pihak korporat seperti PPB Group Sdn Bhd, MMC Corporation dan Celcom Axiata Berhad yang disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

"Manakala Syarikat PTTEP Sarawak Oil Berhad pula menyumbang RM50,000 bagi Tabung Bantuan Kecemasan 2.0 Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Daud berkata, bagi bantuan perubatan, setakat ini, MRA Sabah mengagihkan sumbangan perubatan seperti keperluan peralatan perlindungan diri (PPE), alat Oxygen Concentrator dan keperluan lain berjumlah RM740,000 hasil sumbangan daripada beberapa syarikat korporat seperti The Edge dan MR DIY.

"Bantuan logistik oleh POS Malaysia membawa peralatan PPE dan perubatan melalui penerbangan kargo yang digerakkan hampir setiap minggu sejak pertengahan Oktober lalu.

"MRA turut bekerjasama dengan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) dengan bantuan logistik bersama dengan pihak POS Malaysia melalui penghantaran empat mesin pernafasan HFNC AIRVO2 bernilai RM90,000 kepada Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu," katanya.

Katanya, bantuan mula diagihkan di sekitar Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, Sipitang, Tawau, Semporna, Sandakan dan terkini di Labuan serta akan dikembangkan di beberapa kawasan lain bergantung pada sumbangan diterima.

"Setakat ini, MRA Sabah berjaya mengumpul sebanyak RM100,000 hasil sumbangan orang ramai dan mensasarkan pengumpulan dana keseluruhan sebanyak RM300,000 selain daripada barang sumbangan menjelang November ini," katanya.

Menurutnya, MRA Sabah melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan 2.0 Covid-19 bagi membantu mereka yang terjejas dengan pandemik.

"Orang awam boleh menyumbang terus ke akaun Malaysian Relief Agency Sabah (Maybank) - 5602 4102 1056.

"Buat masa ini, MRA Sabah membuka lima pusat operasi Covid-19 di Tawau, Beaufort, Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan untuk penghantaran bantuan. Orang ramai boleh menghubungi talian 013-337 3316 untuk sebarang pertanyaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:25 PM