SEKITAR ketibaan bantuan sumbangan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia dari Senai, Johor ke Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
SEKITAR ketibaan bantuan sumbangan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia dari Senai, Johor ke Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail

Kota Kinabalu: Sebanyak 10 tan bantuan keperluan asas sumbangan pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 2 petang tadi.

Antara barangan yang dibawa ialah 1,000 pek beras dan 1,000 kotak berisi bekalan makanan lain termasuk gula, tepung dan biskut.

Ketua Sukarelawan mewakili Pertubuhan Kasih Umat Malaysia, Mohamad Ikhsan Helzy berkata, bantuan makanan itu akan diagihkan kepada golongan memerlukan yang dikenal pasti di beberapa daerah.

"Pengagihan bantuan kepada 1,000 keluarga di 10 daerah sekitar negeri ini seperti Kota Marudu, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu dan Papar.

"Pihak Jawatankuasa Bencana juga sudah dimaklumkan berhubung penyerahan bantuan dan tiada sebarang masalah untuk kita edarkan.

"Kita akan mula bergerak menyalurkan semua barangan keperluan makanan ini bermula esok.

"Semoga kami dapat menyalurkan bantuan ini secepat yang mungkin kerana faham ramai individu atau keluarga yang memerlukannya," katanya ketika ditemui di gudang pusat penyimpanan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohamad Ikhsan berkata penghantaran bantuan daripada Ebit Lew ke negeri berkenaan adalah yang kedua selepas penghantaran bantuan keperluan perubatan bagi kegunaan barisan hadapan di seluruh Sabah, minggu lalu.

Sementara itu, Ebit Lew menerusi laman sosial Instagramnya menyatakan beliau bekerjasama dengan My Jet Express menghantar bekalan keperluan asas ke Sabah untuk diagihkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 5:27 PM