GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan makanan bernilai RM2 juta di setiap daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Daerah terbabit ialah Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar dan Sandakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penyaluran bantuan itu dilakukan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah.

Katanya, pengagihan bantuan juga akan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS).

"Kerajaan negeri sedar pelaksanaan PKPB di daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Sebelum ini kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan kepada penduduk terjejas di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang lebih awal dikenakan PKPB.

PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dikuatkuasakan selama 14 hari mulai 7 Oktober, manakala PKPB di Sandakan, Papar dan Tuaran dikuatkuasakan mulai semalam.

PKPB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang berakhir Isnin ini pula dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 26 Oktober berikutan peningkatan kes COVID-19.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga bersetuju supaya semua operasi dan aktiviti perdagangan tukar barang atau barter trade di negeri ini ditangguh bermula 12 Oktober ini sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Barter trade merujuk kepada perdagangan antara selatan Filipina dan Indonesia dengan peniaga dari negeri ini yang berpangkalan di Sandakan dan Tawau.

"Semua rakyat Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Hajiji kini menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth selepas dilaporkan positif COVID-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 10:15 AM