ROKIAH (empat kanan) menyerahkan bekalan perubatan untuk diagihkan kepada hospital dan klinik di Sabah kepada Dr Christina (tiga kiri). FOTO Ihsan Yayasan Petronas
ROKIAH (empat kanan) menyerahkan bekalan perubatan untuk diagihkan kepada hospital dan klinik di Sabah kepada Dr Christina (tiga kiri). FOTO Ihsan Yayasan Petronas
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Yayasan Petronas menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM2.5 juta kepada Jabatan Kesihatan Sabah bagi membantu barisan hadapan mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Sumbangan terbabit yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan awan di seluruh negeri diserahkan secara rasmi kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, semalam.

Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman yang mewakili Yayasan PETRONAS dalam kenyataannya, berkata sebahagian daripada sumbangan terbabit sudah dihantar ke hospital dan klinik yang memerlukan sejak minggu lalu.

Katanya, ia termasuk 10 unit penapis udara pernafasan, dua unit pelembap udara berpusat dan lima unit skrin paparan tanda vital.

Peralatan terbabit, katanya, diagihkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent, Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Keningau dan Hospital Lahad Datu.

"Peralatan perubatan terbabit akan digunakan di unit kecemasan dan trauma, unit rawatan rapi dan wad rawatan rapi paediatrik.

"Sebagai tambahan, sebanyak 1,000 jumpsuits dan 600,000 sarung tangan nitrile juga akan diagihkan ke hospital dan klinik awam melalui Jabatan Kesihatan Sabah," katanya.

Rokiah berkata, sumbangan Yayasan Petronas adalah sejajar dengan keprihatinan syarikat minyak negara itu terhadap usaha membantu menangani pandemik Covid-19.

"Kami memahami keperluan segera untuk peralatan dan bekalan perubatan di hospital serta klinik awam di Sabah dan kita berharap sumbangan ini dapat memastikan kebajikan barisan hadapan ketika menangani kes Covid-19," katanya.

Sementara itu, Dr Christina menyifatkan sumbangan Yayasan Petronas itu bertepatan dengan usaha untuk melengkapkan hospital dan barisan hadapan dengan peralatan sesuai untuk mengurus kes Covid-19.

September lalu, Yayasan Petronas menyumbangkan sebanyak 1,504 botol cecair pembasmi kuman, 2,500 helai pelitup muka pembedahan dan 2,390 gaun perubatan kepada HQE selain dua unit alat pengudaraan pada Ogos lalu.

Selain itu, yayasan berkenaan turut menyumbang 14 katil unit rawatan rapi (ICU) kepada beberapa hospital termasuk HQE, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Duchess of Kent, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau dan Hospital Labuan.

Sehingga bulan ini, inisiatif dan usaha diambil Petronas dalam menyokong usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini sudah mencecah lebih RM42 juta, termasuk sumbangan pekerja Petronas berjumlah RM6.4 juta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 11:42 AM