Shahrinnahar Latib


BIMBANG akaun bank digunakan untuk kes penggubahan wang haram, seorang doktor di Temerloh kerugian RM40,000 diperdaya sindiket Macau Scam, semalam.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya dan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa yang berusia 26 tahun mengakui mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM13,000.

Menurutnya, panggilan berkenaan disambungkan kepada dua lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Nizam dan Inspektor David kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Katanya, selepas itu, suspek memberitahu akaun bank mangsa sudah digunakan dalam kes penggubahan wang haram dan talian disambungkan pula kepada pihak Bank Negara.

“Mangsa diminta memberikan maklumat akaun bank dan kata laluan perbankan dalam talian miliknya kepada suspek.

“Tidak lama kemudian, mangsa membuat semakan dan mendapati wang berjumlah RM40,000 di dalam akaunnya sudah lesap,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam, selepas berasa ditipu oleh sindiket Macau Scam.

Katanya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 11:38 AM