Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang lelaki maut manakala enam remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran simpang Kampung Batu 7, Sungai Sendayan, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian pada 10.50 malam itu membabitkan kereta Honda Civic dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dinaiki enam remaja berusia 19 tahun.

"Mangsa maut dikenali sebagai Phoon Swee Loong, 41, dari Bandar Springhill, Port Dickson.

"Mangsa yang memandu kereta Honda Civic itu dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Port Dickson sebelum dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lalun bertentangan dan bertembung dengan Toyota Unser.

"Mangsa berusia 41 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat," katanya.

ANGGOTA bomba menyiram kesan tumpahan minyak di lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran simpang Kampung Batu 7, Sungai Sendayan, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
ANGGOTA bomba menyiram kesan tumpahan minyak di lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran simpang Kampung Batu 7, Sungai Sendayan, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Beliau berkata, empat remaja berkenaan parah manakala dua lagi cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan sekumpulan remaja berkenaan dalam perjalanan ke Rembau untuk mendaki Gunung Datuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 12:58 PM