Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Beberapa rumah berhampiran laut di Kampung Chuah, Kuala Lukut, dekat sini, rosak akibat air pasang besar awal pagi tadi.

Penghuni tiga rumah yang terletak berhampiran Balai Nelayan Kuala Lukut itu tidak sempat menyelamatkan barangan selepas dilanda ombak besar setinggi 3.4 meter menyebabkan sebuah rumah musnah 100 peratus.

Mangsa, Norrisha Abd Aziz, 41, berkata, dia tersedar air masuk ke rumahnya sebaik terdengar suara jeritan jiran selepas solat subuh.

"Saya terkejut sebaik membuka pintu bilik apabila melihat air sudah memenuhi ruang tamu hingga ke dapur dan beberapa barangan elektrik musnah tetapi sedikit hairan kerana ruang solat yang terletak bersebelahan tidak dimasuki air.

"Biasanya saya mengaji al-Quran sebaik usai solat subuh tetapi pagi tadi terdengar jeritan jiran beritahu air naik akibat air laut pasang besar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat bilik ibu mentua, Norlia Majid, 63, yang terlantar sakit sejak enam tahun lalu kerana bimbang sesuatu terjadi kepadanya.

"Sekali lagi saya terkejut kerana air tidak masuk ke ruang bilik ibu mentua sedangkan air sudah bergenang hampir 0.3 meter di dalam rumah.

"Kejadian ini kali pertama berlaku sejak saya tinggal di sini 15 tahun lalu bersama suami, Karnain Hassan, 41, dan empat anak berusia dari enam hingga 17 tahun," katanya.

Jirannya yang juga nelayan, Mohd Azrul Johari, 33, berkata, dia sedar air mula masuk ke rumahnya pada jam 6.30 pagi.

"Ketika itu bunyi ombak kuat dan air mula masuk hingga memusnahkan sebuah peti televisyen dan tilam serta perabut yang lain.

"Ketika itu saya hanya fikir menyelamatkan isteri dan empat anak berusia dari empat bulan hingga lapan tahun termasuk kembar berusia lima tahun.

"Ini kali pertama kejadian itu berlaku sejak saya tinggal di sini hampir 10 tahun lalu dan air pasang besar turut menyebabkan hakisan terhadap jalan tar di depan rumah," katanya.

KEADAAN rumah Tan Siu Heng yang musnah selepas dilanda air pasang besar di Kampung Chuah, Kuala Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
KEADAAN rumah Tan Siu Heng yang musnah selepas dilanda air pasang besar di Kampung Chuah, Kuala Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Salah sebuah rumah pasangan warga emas, Tan Siu Heng, 76, dan suaminya, Thomas Lim Eng Liut, 93, pula runtuh akibat dilanda ombak besar.

"Nasib baik ketika kejadian saya dan suami tidur di rumah atas kerana ketika ini memang musim air pasang besar.

"Memang kami sedih sebaik mengetahui keadaan rumah ini yang runtuh pada jam 7 pagi kerana sudah lama kami tinggal di sini," katanya sambil menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah.

Tan berkata, dia dan suaminya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

"Saya ada seorang anak yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur tetapi dia tidak dapat balik kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kami berharap ada bantuan segera kepada mereka yang terbabit dalam insiden ombak pasang besar kerana ia satu bencana alam yang tidak dijangkakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang Faizal Ramli dan wakil Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan turun padang menghulurkan bantuan segera berupa barangan makanan dan wang tunai bagi meringankan beban mangsa air pasang besar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 8:46 PM