KEADAAN mangsa selepas dilanggar dan kereta yang dipercayai melanggar mangsa. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN mangsa selepas dilanggar dan kereta yang dipercayai melanggar mangsa. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Anggota tentera berpangkat Sarjan parah dipercayai dilanggar lari sebuah kereta di Kilometer 9, Jalan Pahlawan di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 6.20 petang itu, mangsa, Siti Hasmah Baharin, 37, parah di kepala.

Video kemalangan yang dipercayai dirakam dari kamera papan pemuka sebuah kenderaan turut tular di media sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Benelli TNT 135 bergesel dengan sebuah Toyota Camry putih yang datang dari belakang.

"Berdasarkan video yang tular dalam media sosial, mangsa dari arah Teluk Kemang menghala ke Sua Betong bergesel dengan sebuah kereta Toyota Camry berwarna putih terjatuh sebelum terjatuh.

"Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala dan kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, usaha mengesan pemandu kereta itu sedang dijalankan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6472222 .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:09 PM