GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Khidir Zakaria

POLIS terpaksa mengeluarkan empat kompaun terhadap pengguna jalan raya yang membuat perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran selain memberikan alasan tidak munasabah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson meneruskan pemantauan pematuhan OPS Covid-19 di Hari Raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ops yang dijalankan membabitkan kekuatan 120 pegawai dan anggota polis membabitkan Sekatan Jalan Raya (SJR), Pasukan Pemantau Pematuhan PKPB, Bilik Gerakan, Rondaan, dan lain-lain penugasan sempena Ops Covid-19.

"Dalam Ops dijalankan di Kilometer (KM) 26, Jala Lukut, polis mengeluarkan empat kompaun kepada individu yang engkar arahan rentas sempadan," katanya.

Menurutnya, salah seorang lelaki ditahan dalam perjalanan dari Damansara, Selangor ke Lukut, Port Dickson dengan alasan mahu mengambil anak tanpa sebarang kebenaran rentas negeri.

"Kompaun kedua dikenakan terhadap empat sekeluarga yang dipercayai menghala ke Melaka untuk pulang berhari raya.

"Kompaun ketiga membabitkan pasangan penuntut warga asing yang mendakwa mahu melancong di Port Dickson. Manakala kompaun keempat dikenakan terhadap lelaki yang mendakwa mahu pergi ke kebunnya," katanya.

Katanya, pihak polis sekali lagi menasihatkan kepada mana-mana orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

"Tiada pergerakan rentas negeri melainkan kebenaran dari pihak polis atas hal-hal kecemasan seperti kematian sahaja.

"Orang ramai diingatkan juga, khasnya masyarakat daerah Port Dickson tiada lagi ziarah dan amalan berkunjung sempena Hari Raya bermula hari semalam.

Aidi Sham berkata, pihak IPD Port Dickson akan terus membuat pemantauan keseluruhan dalam daerah Port Dickson agar masyarakat mengikuti SOP yang telah digariskan dalam tempoh PKPB ini.

"Sebarang kekeliruan oleh masyarakat diminta supaya menghubungi Bilik Gerakan Covid IPD Port Dickson di talian 06-6472222 samb. 217 untuk penjelasan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 7:35 PM