Wan Mohamad (tiga dari kanan) ketika pada majlis penyerahan bendera dan pelepasan peserta Latihan Mencari dan Menyelamat serta Kajian Risiko di Gunung Tahan, Jerantut. FOTO Asrol Awang
Wan Mohamad (tiga dari kanan) ketika pada majlis penyerahan bendera dan pelepasan peserta Latihan Mencari dan Menyelamat serta Kajian Risiko di Gunung Tahan, Jerantut. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September, seramai 70 peserta menyertai Ekspedisi Latihan Mencari dan Menyelamat serta Kajian Risiko di Gunung Tahan, Jerantut selama lima hari bermula hari ini.

Ekspedisi pendakian sejauh 64 kilometer (km) itu disertai 35 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelab Media Pahang (15 peserta) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) (lima peserta).

Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohamad Zaidi Wan Isa, berkata program itu sudah pasti menjadi detik bersejarah kepada peserta meraikan Hari Malaysia dengan merakamkan kenangan di puncak Gunung Tahan.

Katanya, pendakian itu juga ibarat program serampang dua mata bukan sahaja membina hubungan baik, kerjasama, displin dan kesabaran, malah melihat dan mengkaji risiko di kawasan rekreasi.

"Saya yakin program latihan ini akan menjadi contoh terbaik kepada semua dalam memberikan perkhidmatan terbaik terutama dalam soal operasi mencari dan menyelamat.

"Saya difahanmkan, trek pendakian Gunung Tahan hanya dibuka kepada pendaki awam pada 15 September ini dan ia tepat pada masanya kepada JBPM, PDRM, Perhilitan dan media untuk meninjau keadaan trek," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera dan pelepasan peserta Latihan Mencari dan Menyelamat serta Kajian Risiko JBPM Pahang bersama PDRM, Perhilitan dan Kelab Media Pahang di ibu pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Zahar Abdullah; Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin; Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin.

Sehubungan itu, Wan Mohamad Zaidi meminta semua peserta mengutamakan keselamatan diri dan pasukan sepanjang pendakian.

Katanya, peserta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta garis panduan yang ditetapkan Perhilitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 5:00 PM