ANTARA peserta ekspidis menawan puncak Gunung Tapis. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
ANTARA peserta ekspidis menawan puncak Gunung Tapis. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SERAMAI 65 pendaki menyertai latihan pemantapan kecergasan fizikal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bersama media menawan puncak Gunung Tapis, Sungai Lembing, di Kuantan, hari ini.

Ekspedisi disertai pengamal media, pegawai dan anggota JBPM Pahang serta kakitangan agensi kerajaan negeri memulakan pendakian pada 9.30 pagi.

Pendakian dua hari satu malam itu turut dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda.

Semua pendaki dijangka menamatkan pendakian pada 6 petang esok selepas menawan puncak Gunung Tapis yang berketinggian 1511 meter dari aras laut.

Ketua Ekspedisi, Ahmad Fazli Ahmad berkata, program yang dirancang sejak sebulan lalu bersama warga JBPM Pahang bertujuan melatih fizikal dan mental peserta dalam sukan lasak.

“Selain itu peserta dapat mempelajari bagaimana prosedur mencari dan menyelamat pendaki yang hilang atau sesat ketika mendaki gunung yang akan diajar anggota bomba.

“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana banyak manfaat yang boleh dipelajari berkaitan tugas menyelamat yang dilakukan anggota bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:04 AM