Ismail Abdul Ghani (kanan) pada majlis pelepasan Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Ismail Abdul Ghani (kanan) pada majlis pelepasan Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Semangat bulan kemerdekaan menjadi bekalan kepada 51 pendaki termasuk lapan peserta wanita yang menyertai Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal, hari ini.

Kumpulan ekspedisi yang turut disertai pengamal media diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit itu akan mendaki gunung dengan ketinggian 5,587 meter daripada paras laut dan terletak di banjaran Himalaya.

Ketua jurulatih ekspedisi berkenaan, Ismail Abdul Ghani berkata, latihan secara berterusan dilakukan 50 peserta sejak Jun lalu menjadi kelebihan kepada setiap peserta untuk melakar kejayaan pada ekspedisi kali ini.

Katanya, tahap kecergasan yang tinggi setiap peserta diharap dapat melancarkan lagi misi pendakian yang dijangka mengambil masa selama enam hari membabitkan empat hari mendaki dan dua hari turun.

"Selain mengikuti latihan yang disediakan pasukan, setiap peserta turut menjalani latihan secara individu dengan berlari antara lima hingga 10 kilometer (km) setiap hari selain turut mendaki bukit di tempat masing-masing.

"Terdapat juga peserta yang sebelum ini pernah mendaki Gunung Fansipan, Vietnam pada 2014 dan kem pangkalan hadapan Annapurna di Himalaya, Nepal pada 2017," katanya, di sini, hari ini.

Pelepasan Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail yang juga Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan panas di Gunung Mardi Himal antara cabaran bakal dihadapi pendaki.

Sementara itu, Husin berkata, beliau begitu teruja apabila berpeluang menyertai ekspedisi simulasi menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal yang akan menjadi kenangan manis dan berharga sepanjang pembabitan dalam aktiviti mendaki bukit dan gunung.

"Sebelum ini saya terbabit dengan ekspedisi ke pangkalan hadapan Annapurna di Himalaya pada 2017, namun ekspedisi kali ini (Mardi Himal) dijangka lebih mencabar.

"Dengan persiapan rapi secara berterusan lebih dua bulan, saya berharap impian menakluk gunung Mardi Himal menjadi kenyataan," katanya yang aktif mendaki bukit dan gunung di negara ini.

Sementara itu bagi, Aishah Che Mohd, 37, dia begitu teruja apabila diberi peluang menyertai ekspedisi ke gunung Mardi Himal yang dianggap mencabar dari segi bentuk muka bumi dan cuaca.

"Sejak 2016 terbabit dengan aktiviti mendaki bukit dan gunung seluruh negara, ini kali pertama saya berpeluang menguji kekuatan mendaki gunung di luar negara yang dikatakan lebih mencabar.

"Saya menjalani latihan berjalan dan berlari sejauh 10km setiap minggu, dengan kecergasan yang ada saya berharap impian berada di kemuncak gunung Mardi Himal akan menjadi kenyataan," katanya yang bertugas sebagai penolong pegawai teknologi maklumat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 4:34 PM