GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang penuntut di Dungun menanggung kerugian lebih RM11,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Kejadian dipercayai bermula selepas lelaki berusia 20-an melihat tawaran iklan pelaburan daripada sebuah syarikat pelaburan di Instagram sebelum mengisi borang disediakan pada 2 September lalu.

Menurut sumber, mangsa kemudian menerima mesej menerusi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada syarikat berkenaan sebelum dia diminta memilih pakej pelaburan.

Katanya, mangsa bersetuju memilih pakej yang paling murah iaitu hanya perlu membuat bayaran RM300 sahaja sebelum diarahkan membuat pembayaran ke dalam akaun sebuah bank.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa segera membuat pindahan wang seperti diarahkan sebelum diberi satu laman web kononnya sebagai rujukan oleh syarikatnya.

"Tidak lama kemudian, mangsa dimaklumkan pakej dipilih sudah habis dan wakil itu menjelaskan hanya pakej berharga RM500 sahaja yang ada.

"Ketika itu, mangsa mula curiga dengan tawaran berkenaan namun wakil terbabit meyakinkannya dengan menunjukkan lesen syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain memberi jaminan bahawa pelaburan itu adalah betul," katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian bersetuju membuat bayaran dengan memindahkan RM500 ke dalam akaun bank diberikan pada hari sama sebelum diminta menunggu sehingga 24 jam dengan dijanjikan duit pulangan pelaburan berjumlah hampir RM50,000 akan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Katanya, pada keesokan harinya (3 September), mangsa dimaklumkan perlu membayar cukai sebanyak tujuh peratus daripada hasil pelaburan diperoleh kepada Bank Negara Malaysia untuk proses pindahan duit berkenaan.

"Mangsa yang teruja membuat dua kali transaksi pembayaran ke dalam akaun bank berbeza yang diberikan pada hari sama namun mangsa masih belum menerima wang yang dijanjikan pada keesokan harinya (4 September).

"Suspek berterusan meminta sejumlah wang dengan memberi pelbagai alasan dengan mangsa dianggarkan membuat pemindahan wang melebihi RM11,000 sedangkan wang pelaburan dijanjikan masih belum diterima.

"Mangsa yang menyedari ditipu sindiket berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kelmarin," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 7:44 PM