- Foto hiasan
- Foto hiasan
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Terpengaruh dengan janji pulangan lumayan hasil pelaburan patuh syariah, menyebabkan seorang penjawat awam kerugian RM21,000 selepas diperdaya skim tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa berusia 40-an melakukan 40 transaksi ke atas enam akaun berbeza sebelum menyedari ditipu apabila langsung tidak menerima pulangan dijanjikan.

Katanya, kejadian bermula pada awal Disember lalu selepas mangsa menerima tawaran pelaburan iaitu pakej pelaburan Forex patuh syariah yang dikatakan mampu membayar keuntungan kepada pelabur bagi setiap dua hari.

"Mangsa tertarik untuk menyertai pakej pelaburan AS$1,000 (RM4,048.50) yang dijanjikan pulangan sehingga RM12,000 sebulan.

"Mangsa kemudiannya membuat transaksi pindahan wang RM4,300 ke satu akaun bank milik perniagaan yang dikatakan mengendalikan skim pelaburan Forex terbabit.

"Tidak lama kemudian mangsa dihubungi suspek yang lain menyatakan pelaburannya untung dan meminta mangsa untuk membuat bayaran lagi bagi mendapatkan wang keuntungan berkenaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh dua minggu, mangsa sudah membuat kira-kira 40 transaksi bayaran ke enam akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek, namun hingga kini tidak menerima pulangan dijanjikan.

Katanya, mangsa yang tidak berpuas hati dan menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis, Khamis lalu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda," katanya yang memberitahu penipuan pelaburan dalam talian semakin kerap berlaku di Kelantan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa, malah menyarankan supaya mengambil langkah termasuk memuat turun aplikasi telefon pintar, Check Scammers CCID untuk menyemak nombor akaun dan nombor telefon terbabit dengan scam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 3:51 PM