Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang guru wanita rugi RM115,000 selepas ditipu individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai syarikat milik mangsa.

Terdahulu, mangsa yang berusia 41 tahun, sudah berkahwin dan berasal dari Selama, Perak itu dihubungi individu terbabit pada 7 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa pada mulanya menafikan terbabit dalam penipuan cukai sebelum dia panggilan itu disambung kepada seorang lelaki mengaku bergelar Datuk dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Suspek meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima notis yang mendakwanya terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

"Pada 8 Februari lalu, mangsa diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi dari bank kerana mangsa perlu ada kewangan yang kukuh dalam akaun banknya," katanya pada kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa yang ketakutan membuat pinjaman RM133,080.90 daripada sebuah bank sebelum ia diluluskan dan dikreditkan ke akaunnya pada 15 Februari lalu.

Mangsa kemudiannya menghubungi suspek untuk memaklumkan perkara itu.

"Keesokan harinya, mangsa cuba untuk log masuk ke perbankan atas talian miliknya namun disekat.

"Mangsa menghubungi bank sebelum dimaklumkan terdapat transaksi pindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga berjumlah RM115,000," katanya.

Mangsa yang syak diperdaya membuat laporan di Balai Polis Kulim semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan taktik jenayah komersil terkini di http://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/ dan http://www.facebook.com/JSJKPDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 5:03 PM