MOHD Rosni (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan nombor ramalan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHD Rosni (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan nombor ramalan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kegiatan sindiket penipuan nombor ramalan dijalankan di negeri ini sejak sejak 2018, tumpas susulan penahanan tiga lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Perak, Ahad lalu.

Tiga suspek berusia antara 46 hingga 63 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di kawasan Bercham, Kampung Tawas dan Batu Gajah, Perak.

Ketua JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, penahanan dilakukan selepas menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 69 tahun yang diperdaya ahli sindiket terbabit menyebabkan kerugian RM12,000.

Beliau berkata, mangsa menyerahkan wang berkenaan dalam satu pertemuan dengan suspek di Air Itam, di sini, bagi urusan menebus wang kemenangan tiket nombor ramalan yang kononnya dimenangi anggota sindiket berkenaan.

"Suspek yang menyamar sebagai warganegara asing dipercayai memperdaya mangsa dengan mengatakan dia memenangi nombor ramalan bernilai RM400,000.

"Suspek mendakwa tidak dapat menebus wang berkenaan berikutan berstatus warga asing lalu menawarkan mangsa bagi menebus wang kemenangan itu dengan menjanjikan upah sebanyak RM60,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara barangan dirampas semasa serbuan ialah tiga resit nombor ramalan, 10 helai akhbar tempatan, lima keping cek, buku cek, dua kereta, 13 keping kad debit pelbagai bank, dua kad kredit, lima telefon bimbit dokumen pajakan geran tanah, 18 sijil simpanan tetap pelbagai bank berjumlah RM369,797.10 dan wang tunai RM500.

Menurutnya, siasatan awal mendapati 15 laporan polis sudah dibuat berhubung sindiket itu membabitkan kerugian RM296,300 dan mereka menyasarkan golongan warga emas.

Katanya, mereka turut menjalankan penipuan itu di negeri lain dan siasatan terus dijalankan bagi mengenalpasti kes berkaitan.

"Didapati hasil penipuan itu digunakan bagi membiayai pembelian kereta, pembayaran sewa rumah serta membuat simpanan dalam bentuk tetap.

"Sehubungan itu orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya kepada individu mengaku sebagai warga negara asing yang mendakwa memenangi tiket nombor ramalan.

"Warga emas diingatkan supaya ditemani ahli keluarga sekiranya mahu membuat pengeluaran wang serta tidak mendedahkan maklumat kewangan kepada orang tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, disebat atau denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 3:15 PM