Siraj Mohd Zaini


KETUA sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) serta dua ahlinya direman selama tiga hari mulai hari ini selepas ditangkap di Petaling Jaya, 4.30 pagi hari ini.

Perintah tahanan reman suspek berusia antara 28 hingga 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan di Mahkamah Klang.

Ketiga-tiga suspek dilihat dibawa ke mahkamah oleh pegawai polis dengan tangan bergari pada 2.45 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya itu, polis merampas sebuah Honda Accord, lima unit telefon bimbit, pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan JJPTR, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Terdahulu, dalam serbuan polis di lapan lokasi sekitar Pulau Pinang, Jumaat lalu, seramai 16 wanita dan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun dipercayai ahli sindiket serta pelabur ditahan.

Sindiket menawarkan skim pelaburan didakwa berasaskan perniagaan pertukaran mata wang asing (Forex) dan sehingga kini sudah mengaut keuntungan lebih RM1.7 bilion hasil wang dilaburkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 5:10 PM
Anggota polis membawa ketua sindiket pelaburan JJPTR serta dua ahlinya untuk mendapat perintah reman. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Anggota polis membawa ketua sindiket pelaburan JJPTR serta dua ahlinya untuk mendapat perintah reman. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria