TINJAUAN pematuhan SOP PKPP. FOTO NSTP
TINJAUAN pematuhan SOP PKPP. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 17 premis perniagaan diberikan nasihat berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dilakukan dalam 1,416 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP yang dilakukan semalam oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

Beliau berkata, daripada 1,416 pemeriksaan khas itu didapati 1,399 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Semalam penguat kuasa KPDNHEP juga membuat pemantauan harian barangan keperluan asas ke atas 12 jenis bekalan barangan di 732 premis perniagaan termasuk 522 peruncit, 181 pemborong dan 29 pengilang.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal serta kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) hari ke-171 dan hari ke-87 PKPP.

Selain itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan terhadap 22 tapak binaan di seluruh Malaysia, semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati 21 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan manakala satu tapak binaan tidak patuh arahan dan diberikan amaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 4:33 PM