Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


BEKALAN barangan keperluan asas adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan selain didapati mudah diperoleh.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 752 premis perniagaan.

Beliau berkata, premis perniagaan yang diperiksa itu termasuk 560 peruncit, 162 pemborong dan 30 pengilang.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga melakukan 1,027 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Hasil pemeriksaan khas itu mendapati 1,017 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 10 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-117 dan hari ke-32 PKPP, hari ini.

Sementara itu, katanya, semalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan pemeriksaan di sembilan tapak binaan di seluruh Malaysia yang membabitkan 15 penguatkuasa.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati semua sembilan tapak binaan itu patuh SOP ditetapkan.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,981 tapak binaan, manakala 525 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.

"Setakat ini, penguatkuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP,"

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 5:24 PM