ANTARA penagih yang ditahan AADK dalam Ops Cegah di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO ihsan AADK
ANTARA penagih yang ditahan AADK dalam Ops Cegah di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO ihsan AADK
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG penagih sanggup membawa air kencing rakannya yang disimpan dalam botol dan disorok celah seluar dalamnya sebagai taktik mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 20-an untuk menggunakan air kencing rakannya bagi menggantikan air kencingnya gagal apabila tindakannya itu disedari penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam 'Ops Cegah' di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 25 dan 26 Ogos lalu.

Terdahulu, lelaki terbabit yang yang ditahan di rumah keluarganya memberi pelbagai alasan ketika penguat kuasa meminta sampel air kencingnya termasuk tidak dapat kencing.

Bagaimanapun, cubaannya untuk memperdayakan anggota AADK dengan menggantikan air kencing gagal sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia positif dadah.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit membawa air kencing rakannya dengan meletakkannya di dalam botol kecil dan menyembunyikan di celah seluar dalam.

Difahamkan, air kencing itu akan digunakan setiap kali ditahan untuk pemeriksaan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Saufi Yusoff berkata, pihaknya menahan 31 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun di rumah masing-masing hasil risikan dan maklumat awam dalam operasi bermula 11 pagi 25 Ogos dan berakhir pada 4 pagi, 26 Ogos lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 28 individu didapati positif dadah termasuk seorang penjawat awam dengan 26 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi positif dadah opiate.

"Kita menahan 22 orang untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala enam daripadanya yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 2:49 PM