Sebahagian individu yang disyaki penagih dadah yang ditahan dalam operasi Op Cegah di sekitar daerah Kuala Muda. FOTO IHSAN AADK
Sebahagian individu yang disyaki penagih dadah yang ditahan dalam operasi Op Cegah di sekitar daerah Kuala Muda. FOTO IHSAN AADK
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tiga lelaki dipercayai penagih dadah bertindak agresif apabila mengajak anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda bertumbuk dalam serbuan Op Cegah di Gurun, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 6.15 petang, mereka berusia 24 hingga 26 tahun sanggup bertindak demikian ketika cuba ditahan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, berlaku pergelutan antara anggotanya dengan tiga lelaki berkenaan, namun mereka akhirnya berjaya ditahan.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamine.

"Dalam serbuan di satu kawasan di daerah ini, kita menahan suami isteri berusia 21 dan 29 tahun kerana positif dadah.

"Si suami didapati positif dadah jenis morfin dan methapetamine, manakala isterinya positif dadah jenis methapetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Dalam pada itu, Arnida berkata, dalam operasi Op Cegah bermula jam 9 pagi hingga 11 malam semalam, seramai 15 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki penagih dadah.

Menurutnya, operasi diketuai Irdawati Abdul Hamid bersama empat anggota AADK Kuala Muda mengempur beberapa lokasi termasuk di Sungai Petani, Bukit Selambau, Gurun, Bedong dan Merbok.

Katanya, dua daripada mereka positif dadah jenis methapetamine dan morfin, manakala 13 lagi positif dadah jenis metamphetamine.

"Kesemua mereka berusia 19 hingga 40 tahun disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:09 PM