ANTARA penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan AADK
ANTARA penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad

SANGGUP meredah ladang kelapa sawit sejauh tiga kilometer demi melepaskan gian sebelum port mereka di Guar Nenas, Gurun diserbu pihak berkuasa.

Itu situasi berlaku di salah satu lokasi serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda bermula 9 pagi, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, dalam serbuan itu, hanya seorang penagih dadah ditahan berbanding 16 individu yang dikesan pada awalnya di lokasi berkenaan.

“Kawasan itu antara lokasi panas yang menjadi sarang penagihan dadah di daerah ini sejak sekian lama.

“Ketika serbuan diadakan, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan, manakala 15 penagih dadah lain berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi yang diadakan, lapan lagi penagih dadah ditahan di lokasi berasingan membabitkan lapan kawasan tumpuan.

ANTARA penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan AADK
ANTARA penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan AADK

Antaranya lokasi serbuan adalah Taman Seri Impian, Desa Keda Che Bema, Taman Keladi, Taman Setia, Bandar Puteri Jaya, Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Sungai Layar Hujung dan Jalan Guar Nenas.

Katanya, kesemua ditahan berusia di antara 21 hingga 49 tahun.

“Ujian saringan air kencing mendapati lima daripadanya positif methamphetamine, manakala empat positif methamphetamine dan morfin.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:18 PM