Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

POLIS Kelantan merekodkan sebanyak 86 kes sindiket penipuan 'Macau Scam' dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini membabitkan jumlah kerugian sehingga RM3.2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa terdiri daripada 42 lelaki dan 44 wanita.

Beliau berkata, dari segi jumlah kerugian, kategori usia 40 tahun ke bawah mencatatkan kerugian RM603,000.

Sementara, kategori usia 40 hingga 60 tahun membabitkan jumlah kerugian RM1.4 juta dan kategori umur 60 tahun ke atas mencatatkan jumlah kerugian RM1.2 juta.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon pintar 'Semak Penipu CCID' untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang digunakan, sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersil.

"Mereka juga boleh melakukan semakan secara terus dengan balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah yang berhampiran berkenaan dengan panggilan telefon yang diterima," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan individu tidak dikenali terutamanya tidak pernah berjumpa secara berhadapan.

Selain itu, tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial atau menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau nombor PIN kepada sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 2:45 PM