RAMLI menunjukkan perkhidmatan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa scammer di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
RAMLI menunjukkan perkhidmatan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa scammer di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


Kuantan: Sejumlah RM9.74 juta kerugian membabitkan jenayah komersil direkodkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan statistik, penyumbang utama kes jenayah komersil ialah penipuan secara dalam talian yang berjumlah RM6.9 juta.

Katanya, kebanyakan kes itu membabitkan penipuan secara e-belian dan tawaran kerja.

"Bagi tempoh tiga bulan ini, sebanyak 564 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu, 260 sudah dituduh.

"Mengikut data, individu daripada sektor swasta merekodkan jumlah individu tertinggi yang menjadi mangsa.

"Kebanyakan mangsa adalah lelaki dengan anggaran umur antara 17 dan 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kad laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang di Ibu Pejabat Polis Pahang, di sini hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli menasihati dan menegaskan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sindiket pelaburan, pinjaman dan jualan tidak wujud melalui laman media sosial.

"Langkah terbaik ialah membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Masyarakat juga dinasihat supaya kerap membuat semakan kemasukan dan pengeluaran wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri supaya tidak menjadi keldai akaun.

"Jika didapati menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah jenayah dan mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 1:05 PM