GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ali Iqbal


Muar: Lebih RM2.5 juta kerugian membabitkan 92 kes penipuan termasuk Macau Scam direkodkan di daerah ini sejak Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kes Macau Scam dalam tempoh sama tahun ini amat membimbangkan apabila merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33 kes.

Beliau berkata, ia diikuti pembelian atas talian membabitkan 21 kes manakala tipu pelaburan 21 kes.

"Ketiga-tiga kes ini antara yang merekodkan kerugian tertinggi dan menjadi sasaran penjenayah untuk aktiviti penipuan mereka.

"Ia termasuk dua kes baru-baru ini membabitkan jururawat ditipu Love Scam dan kes lelaki menyamar sebagai pegawai Pos Laju.

"Situasi ini sangat membimbangkan dan saya ingin mengingatkan masyarakat untuk lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket ini," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, beliau menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya apabila berurusan secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut mengingatkan supaya menyemak terlebih dulu nombor telefon dan akaun bank digunakan suspek melalui aplikasi 'SEMAK MULE' yang disediakan secara talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

"Ini bertujuan mengetahui sama ada talian atau nombor akaun bank itu pernah digunakan dalam mana-mana kes jenayah komersil.

"Kes masih berlaku walaupun sudah diberi peringatan, jadi kesedaran orang ramai amat diperlukan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa ditipu. Masyarakat perlu sentiasa cakna dengan kempen pencegahan jenayah komersil dijalankan.

"Selain itu, sekiranya menjadi mangsa penipuan, mangsa hendaklah menghubungi National Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang daripada akaun suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 3:00 PM