Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang pegawai sebuah agensi penguatkuasaan di sini terpaksa membuat pinjaman bank dan mengeluarkan keseluruhan wang simpanannya sebanyak RM370,000 pada pertengahan Jun lalu selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, akibatnya, lelaki berusia 33 tahun itu terpaksa menanggung beban hutang selepas membuat pinjaman bank.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendakwa syarikat yang didaftarkan atas namanya tidak membayar cukai.

"Suspek memaklumkan syarikat atas nama mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram berdasarkan semakan dilakukan.

"Panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya pegawai polis bernama Inspektor Azman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa supaya memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayah yang dihadapinya tanpa perlu melakukan tangkapan.

"Mangsa bersetuju dan memasukkan wang simpanannya berjumlah RM120,000 ke dalam akaun yang diberikan bermula pada 17 hingga 21 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank selepas wang simpanannya sudah habis.

"Mangsa menuruti permintaan suspek dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada dua bank di daerah ini. Selepas itu, mangsa memuat turun aplikasi myBNM dan mengisi segala butiran bank dalam aplikasi berkenaan seperti yang diminta suspek," katanya.

Beliau berkata, pada 30 Jun lalu, mangsa mendapati duit pinjaman yang masuk ke akaun banknya sudah tiada dan semakan transaksi mendapati wang terbabit dipindahkan beberapa akaun bank yang lain.

"Pada Selasa, mangsa terima panggilan daripada sebuah bank yang memaklumkan terdapat transaksi mencurigakan terhadap akaun bank miliknya dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam dan rakaman percakapannya juga sudah diambil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:06 AM