Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Seorang pesara berputih mata selepas wang persaraan dan simpanan berjumlah lebih RM1 juta lesap diperdaya sindiket Macau Scam, tahun lalu.

Wanita warga emas berusia 74 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu mendakwa dari Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia pada 25 September 2020.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu itu mendakwa terdapat bungkusan yang dihantar oleh mangsa ke Sabah mengandungi MyKad, buku cek dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Panggilan itu kemudian disambung kepada Sarjan Fairul dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Suspek mendakwa pengadu terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan dalam siasatan polis.

"Selepas itu pengadu disambungkan pula kepada individu lain dikenali sebagai Wan yang menyatakan pengadu akan ditahan dan direman jika enggan memberi kerjasama.

"Pengadu yang takut dan bimbang menuruti arahan suspek dengan memberikan maklumat akaun bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pada 1 Oktober pengadu memindahkan wang daripada akaun simpanan ke akaun bank miliknya berjumlah RM833,000.

Tambah beliau, pada 5 Oktober suspek meminta pengadu menyerahkan kad ATM itu untuk pengeluaran wang bagi tujuan audit.

"Keesokannya, pengadu pergi ke sebuah pusat beli-belah di daerah ini dan meletakkan kad ATM miliknya di atas peti surat seperti diarahkan suspek melalui panggilan telefon," katanya.

Katanya, pada 28 Oktober, pengadu memindahkan RM75,000 dari dua akaun bank berlainan miliknya atas arahan suspek disusuli empat transaksi lain berjumlah RM85,400 serta beberapa pengeluaran lagi.

Katanya, pengadu yang menyedari ditipu selepas kerugian RM1,007,673.33 kemudian tampil membuat laporan polis semalam.

Nik Ezanee menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan tipu helah serta ugutan dilakukan sindiket berkenaan yang mensasarkan golongan warga emas.

"Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, hubungi ahli keluarga atau bincang dengan isi rumah dan hubungi polis dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:51 PM