Shahrinnahar Latib


GARA-GARA dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram, seorang peniaga di Bera terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM859,500 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Pada 24 April lalu, wanita berusia 53 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa kakitangan Pos Laju Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu terdapat bungkusan yang dipos dari Sabah ke Kuantan ditahan oleh Kastam kerana mengandungi kad pengenalan dan kad kredit milik wanita itu.

"Kemudian mangsa dihubungi oleh seorang lagi suspek kononnya pegawai polis bernama Inspektor Ku," katanya dalam satu kenyataan media, hari.

Mohd Wazir berkata, suspek mendakwa semakan kad pengenalan mangsa mendapati wanita itu terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Suspek juga menyuruh mangsa membuka akaun bank yang baru dengan memberikan nombor telefon untuk mendaftar akaun berkenaan.

"Selepas membuka akaun berkenaan, suspek memindahkan wang sebanyak RM509,500 ke dalam dalam akaun yang baru dibuka itu," katanya.

Katanya lagi, mangsa juga memindahkan wang sebanyak RM350,000 ke dalam lapan akaun bank yang berbeza dengan melakukan 75 kali transaksi.

"Kesemua wang berkenaan kononnya ingin diperiksa oleh polis kerana mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram," katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas semua wang dipindahkan dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Triang di Bera, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 8:34 AM