GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan, mulai April hingga September 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan melalui MEDAC amat prihatin terhadap impak penularan wabak Covid-19 ke atas aktiviti perniagaan sebanyak 14,628 buah koperasi di Malaysia.

“Aktiviti koperasi yang terjejas ini turut memberi kesan kepada kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi di seluruh Malaysia.

“Dalam usaha untuk meringankan beban dan membantu koperasi yang terbabit, MEDAC sudah mengambil langkah proaktif untuk mengumumkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman oleh koperasi menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggaran keseluruhan kos berikutan pelaksanaan moratorium ini ialah sebanyak RM99 juta, katanya.

Koperasi boleh memohon secara terus ke SKM menerusi e-mel kepada [email protected] atau menghubungi 012-3302444.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:28 PM