Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir (tengah) ketika melawat Koperasi Kariah Masjid Mukim Sri Aman, Pasir Puteh sempena Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 di Masjid Sri Aman, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir (tengah) ketika melawat Koperasi Kariah Masjid Mukim Sri Aman, Pasir Puteh sempena Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 di Masjid Sri Aman, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Institusi masjid, surau dan pusat tahfiz di seluruh negara digalakkan untuk menubuhkan koperasi masing-masing dalam usaha mengumpul dana menerusi aktiviti perniagaan.

Naib Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abd Kadir berkata, berikutan itu pihaknya menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk membantu institusi berkenaan pada tahun ini.

Menurutnya, setakat ini hanya 549 daripada 6,000 masjid di negara ini yang menubuhkan koperasi kariah masjid dengan 501 adalah masjid manakala selebihnya surau.

"Kita tahu kebiasaan masjid atau surau dan pusat tahfiz bergantung kepada sumber sedekah, kutipan zakat tapi kalau dikembangkan dalam bentuk aktiviti ekonomi maka mampu memberi pendapatan lebih tinggi.

"SKM bersedia membantu mereka memulakan perniagaan menerusi tabung bantuan pembangunan koperasi dengan bantuan maksima sehingga RM300,000.

"Itu untuk bantuan infrastruktur, manakala bagi modal pusingan pula, kita sediakan Tabung Modal Pusingan (TMP) di mana koperasi boleh memohon pinjaman tanpa cagaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 di Masjid Sri Aman, di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini SKM sudah meluluskan peruntukan TMP kepada 200 koperasi seluruh negara dengan jumlah lebih RM300 juta.

Katanya, sistem koperasi adalah platform terbaik bagi menangani kos sara hidup di mana kini mempunyai 7.2 juta ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:02 PM