Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak akan memanjangkan isu kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau yakin situasi yang berlaku dalam PDRM itu masih dalam keadaan terkawal.

"Saya sudah jelaskan sebelum ini bahawa isu berkenaan terkawal, dan saya sudah berbincang dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung perkara itu.

"Tidak perlu sampai ke situ (melaporkan kepada SPRM) kerana tindakan akan diambil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau amat menghargai reaksi pihak luar berhubung perkara berkenaan.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya isu rasuah dan salah laku dalam kalangan pegawai polis. Budaya ini yang saya nak tekankan dan inilah masanya. Saya tidak malu untuk mengaku bahawa ia berlaku kerana kalau malu sampai bila pun takkan berubah," katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini meminta Abdul Hamid untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya mengenai kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan beliau.

Dalam isu berasingan, Abdul Hamid Bador memberi bayangan timbalannya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai pengganti jawatannya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, ia terpulang kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Begitulah perancangannya, siapa timbalan akan naik jadi Ketua Polis Negara. Namun, ia terpulang kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab jawatan ini memerlukan perkenan Agong," katanya.

Abdul Hamid bakal bersara pada 3 Mei ini dan pengganti jawatannya masih belum diumumkan berikutan perlu perkenan mendapat Yang di-Pertuan Agong.

ABDUL Hamid ketika sidang media di Majlis Perasmian Portal My Bayar Saman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin
ABDUL Hamid ketika sidang media di Majlis Perasmian Portal My Bayar Saman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:09 PM