Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: "I reserve my comments (tiada komen)," demikian respon Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ringkas, apabila ditanya mengenai desas-desus beliau akan diangkat sebagai Ketua Polis Negara selepas kontrak Tan Sri Abdul Hamid Bador tamat 3 Mei ini.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau memilih untuk tidak mengulas mengenai khabar angin itu sehingga satu pelantikan rasmi dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Harian Metro semalam melaporkan, Acryl Sani diangkat menjadi Ketua Polis Negara (KPN) selepas kontrak Tan Sri Abdul Hamid Bador tamat, 3 Mei ini.

Kedudukan beliau kini, yang juga sebagai orang nombor dua di pasukan Sang Saka Biru melayakkan namanya dipertimbangkan ke jawatan nombor satu di Bukit Aman itu. Bagaimanapun, pelantikan berkenaan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, Acryl Sani berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain menjadi pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 4:15 PM